Jumaat, 1 Ogos 2014

Batas-batas Aurat Dalam Islam

Aurat dari segi bahasa; ialah keaiban.
Manakala dari segi istilah Syarak; ialah bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia yang wajib ditutup.
Jadi, aurat bermaksud bahagian-bahagian tertentu yang wajib dilindungi daripada pandangan orang ajnabi(orang yang boleh berkahwin dengannya) kerana perbuatan tersebut dianggap suatu yang mengaibkan di sisi agama Islam.

AURAT KETIKA BERSENDIRIAN
1. Ulama’ Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat: “Sebagaimana dilarang seorang mukallaf (orang yang dituntut beramal dengan suruhan dan meninggalkan larangan) mendedahkan aurat ketika berhadapan dengan orang yang dilarang melihat auratnya, maka demikian juga dilarang mendedahkan auratnya ketika ia bersendirian kecuali ketika dharurat atau terpaksa dibuka seperti ketika qadha’ hajat atau ketika mandi. Ketika dharurat diharuskan membukanya.”
2. Sementara Ulama’ Mazhab Maliki dan Syafi’ie berpendapat: “Ketika seseorang itu bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan auratnya hanya makruh kecuali ketika dharurat kerana ketika dharurat diharuskan membukanya.”
BATAS-BATAS AURAT LELAKI
Rasulullah SAW bersabda:

عنِ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:

((لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ)) [صحيح مسلم]

Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian.” [HR Muslim].
Ulama mempunyai pelbagai pendapat dalam hal had atau batas aurat lelaki ini;
1. Mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat: “Lelaki diwajibkan menutup auratnya di antara pusat hingga lutut daripada dilihat oleh lelaki atau perempuan yang bukan mahramnya kecuali kepada isterinya. Selain dari isterinya diharamkan melihat aurat di antara pusat hingga lututnya”.
Isteri boleh (harus) melihat aurat suami kecuali pada kemaluan kerana melihat kemaluan masing-maisng adalah MAKRUH.
2. Imam Malik dan Imam Syafi’ie berpendapat: “Aurat lelaki ada dua keadaan:
(1) Auratnya dengan sesama lelaki dan perempuan yang mahram dengannya. Auratnya ialah di antara pusat hingga lutut sahaja.
(2) Auratnya dengan perempuan yang bukan mahramnya.
Auratnya adalah seluruh tubuh badannya.
[Rujuk Kitab al-Fiqh ’Ala al-Mazahib Al-Arba’ah, jilid 1 dalam bab Mabhas Sitr Al-Aurah].

BATAS AURAT WANITA DENGAN LELAKI
Para Ulama’ bersepakat berpendapat bawah aurat perempuan kepada lelaki yang bukan MAHRAMNYA ialah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT adalam surah An-Nur ayat 31, Al-Ahzab ayat 53 dan ayat 59 serta riwayat beberapa buah hadith.
Firman Allah SWT:

{وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ}

Maksudnya: “{Dan janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasannya kecuali apa yang biasa nampak daripadanya dan hendaklah mereka menutup kain tudung mereka hingga ke bawah dada}.” [An-Nur: 31].
Firman Allah SWT

{يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا} الأحزاب (59)

Maksudnya: {Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuan kamu serta kepada para isteri orang mukmin sekalian, hendaklah menghulurkan JILBAB mereka ke seluruh tubuh badan mereka kerana dengan itu mereka akan mudah dikenali (sebagai wanita mukminah) dan mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang}.” [Al-Ahzab: 59].
Firman Allah lagi:

{وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ} الأحزاب (53)

Yang bermaksud: “{Apabila kamu bertanya atau meminta sesuatu keperluan kepada mereka (isteri-isteri Nabi SAW), maka hendaklah di sebalik tabir. Cara demikian adalah lebih mensucikan hati kamu dan hati mereka …}” [Al-Ahzab: 53]
Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari disebut riwayat dari Ibn Syihab dari ’Urwah dan dari Aishah, R.anha berkata:
“Semoga Allah mencucuri rahmat kepada wanita-wanita Muhajirin yang mulia iaitu tatkala Allah menurunkan ayat 31 surah An-Nur, mereka teus mengoyak kain selendang lalu menutup diri mereka dengannya”. [Tafsir Ibn Kathir juz 3 halaman 284]
HR Abu Daud daripada Saidatina Aisyah Radhiyallahu ‘anha bahawa suatu hari kakaknya iaitu Asma’ binti Abu Bakar datang mengadap Rasulullah SAW sedangkan ia berpakaian nipis (jarang). Melihatkan keadaan itu, Rasulullah SAW terus berpaling muka dan bersabda maksudnya: “Wahai Asma’, apabila seorang wanita telah sampai masa haid (baligh), maka lelaki ajnabi tidak boleh melihatnya, kecuali kadar had ini (Rasulullah SAW mengisyaratkan pada muka dan kedua tapak tangannya).
BATAS AURAT WANITA MENURUT ULAMA’ MAZHAB:
Antara batas aurat wanita yang telah ditetapkan oleh syariat menurut pendapat dan fatwa mazhab ialah;
1. Di hadapan lelaki bukan mahramnya ialah seluruh tubuh. Maksudnya semua termasuk rambutnya, mukanya, kedua tapak tangannya zahir dan batinnya juga kedua tapak kakinya. Hukum ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat”. (HR Al-Bazar dan At-Tirmizi).
2. Semasa seorang diri atau di hadapan lelaki mahramnya atau di hadapan wanita Islam yang baik akhlaknya, batas auaratnya adalah antara pusat hingga lutut. Walau bagaimanapun, bagi menjaga adab serta memperhalusi akhklak ketika berhadapan dengan lelaki yang mahramnya, eloklah wanita itu menjaga dan menutup auratnya yang selain dari pusat hingga lutut agar tidak menimbulkan ghairah kepada lelaki walaupun darjatnya mahrahm dengannya. Lebih-lebih lagi ditakuti akan timbul fitnah, kes sumbang mahram dan lain-lain.
3. Di hadapan wanita kafir dan wanita yang rendah akhlaknya, aurat wanita itu adalah seluruh tubuh kecuali anggota yang zahir ketika bekerja iaitu kepala, muka, leher, dari dua tapak tangan hingga ke siku sahaja dan dua tapak kakinya. Selain itu adalah diharamkan membukanya.
4. Aurat wanita sahaya (hamba) kepada lelaki yang mahram dengannya dan sesama perempuan auratnya adalah dari pusat hingga lutut. Dengan lelaki bukan mahram dengannya (ajnabi) auratnya adalah seluruh tubuh badan.
Penjelasan-penjelasan ulama tentang batas-batas aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram).
Perbezaan pendapat;
1. MAZHAB SYAFI’IE: ada 2 qaul;
a) Qaul pertama: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Qaul ini adalah qaul yang paling soheh dalam Mazhab Syaf’ie.
b) Qaul kedua: Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedah muka dan dua tapak tangan boleh menimbulkan fitnah kepada wanita itu, maka ketika itu wajiblah menutup seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Fitnah iaitu ( ”apa yang lahir pada dirinya yang mana dengan melihatnya boleh mendatangkan nafsu syahwat).
2. MAZHAB HAMBALI: ada 2 qaul;
a) Qaul pertama: Semua anggota wanita adalah aurat tanpa kecuali kepada lelaki ajnabi.
b) Qaul kedua: Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Tapi jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.
3. MAZHAB HANAFI: ada 2 qaul;
a) Qaul pertama: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.
b) Qaul kedua: Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan hingga ke pergelangan tangan dan dua tapak kaki.
4. MAZHAB MALIKI: Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.
SIAPAKAH YANG DIKATAKAN GOLONGAN MAHRAM BAGI WANITA.
1. Bapa sendiri ( bapa kandung).
2. Bapa suami (bapa mertua).
3. Anak lelaki.
4. Anak lelaki suaminya (anak tirinya atau anak isteri lain bagi suaminya sama ada isteri itu masih hidup atau telah bercerai atau meninggal) tetapi bukan anak dari bekas isteri suaminya dengan suami yang lain yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya.
5. Saudara lelaki (adik atau abang seibu sebapa atau seibu sahaja atau sebapa sahaja).
6. Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara).
7. Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara).
8. Kanak-kanak lelaki yang bukan mahram yang belum mengerti tentang aurat wanita (belum mumayyiz).
9. Anak lelaki susuan.
10. Bapa susuan.
11. Saudara susuan.
12. Bapa saudara sususan, datuk saudara susuan hingga ke atas, dan anak saudara susuan hingga ke bawah.
13. Menantu lelaki.
DIBOLEHKAN LELAKI BUKAN MAHRAM MELIHAT AURAT WANITA DALAM BEBERAPA KEADAAN.
1. Ketika hendak meminang. Kadar sempadan aurat yang hendak dilihat ialah muka dan kedua tapak tangan sahaja.
2. Ketika berjual beli.
3. Doktor atau tabib bertujuan mengubat.
4. Ketika hendak menjadi saksi.
5. Ketika mengajar.
Beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh ramai Muslimah samada mereka sedar atau tidak:
1) Berpakaian ketat dan menampakkan beberapa bahagian anggota tubuh.
2) Menyerupai pakaian lelaki seperti berseluar panjang dan berkemeja.
3) Menyerupai pakaian wanita-wanita kafir seperti fesyen-fesyen terkini yang jelas bercanggah dengan cara berpakaian Muslimah.
4) Tidak menutup sebahagian anggota tubuh. Ada yang nampak telinganya, nampak lehernya, nampak rambutnya, nampak lengannya, nampak kakinya dan sebagainya.
5) Pakaian tersebut penuh dengan perhiasan.
6) Kainnya nipis sehingga boleh dilihat walaupun kain tersebut menutup auratnya.
7) Pakaian yang dipakai mempunyai ciri-ciri kemahsyuran, ke’glamour‘an dan nilai-nilai kesombongan orang yang memakainya.
Mudah-mudahan dengan tersenarainya beberapa hal di atas, kita mendoakan agar saudara-saudara Muslimah kita semua dapat berubah dan mengambil tindakan untuk memperbetulkannya. Bukan mereka semua sengaja mahu langgar, tapi kadang-kadang akibat salah faham dan pengaruh sekeliling, maka mereka keliru dan jauh dari petunjuk agama.
Pakaian Muslimah yang betul dan tepat dengan kehendak syariat Islam ialah:
1) Menutup semua bahagian tubuh melainkan muka dan tapak tangan.
2) Pakaian tersebut tidak mempunyai ciri-ciri perhiasan yang boleh menarik perhatian.
3) Mestilah kainnya tebal. Mestilah tidak tembus cahaya dan tidak boleh nampak anggota tubuh.
4) Mestilah longgar (tidak ketat), supaya tidak menampakkan bentuk tubuh.
5) Tidak berwangi-wangian.
6) Tidak menyerupai pakaian lelaki.
7) Tidak menyerupai pakaian wanita kafir.
8) Pakaian tersebut mestilah tidak melambangkan kemasyhuran atau kesombongan.
kredit : http://www.abuanasmadani.com/

Cara Ringkas Solat atau Sembahyang Jenazah



1. Angkat Takbir "Allahuakbar" & Niat dalam hati :

  • Sahaja aku solat jenazah terhadap mayat ini, 4 takbir, fardhu kifayah kerana Allah Ta’ala.
  • Jadi makmum? tambah "sebagai makmum kerana Allah Taala"
  • Baca Al-fatihah hingga akhir

2. Angkat Takbir Kedua "Allahuakbar"

  •  Baca : Allahumma solli a'la Muhammad wa a'la ali Muhammad
  •  Pendek pun takpa, paling elok selawat ibrahimiah macam dalam tahiyyat akhir

3. Angkat Takbir Ketiga "Allahuakabar"

  • Baca doa (pendek pun takpa, panjang lagi bagus) contoh dibawah ni :
  • Allahummargh firlahu warhamhu (untuk mayat lelaki)
  • Allahummargh firlaha warhamha (untuk mayat perempuan)
  • Untuk mayat kanak-kanak yang belum baligh, tidak dibacakan doa ini kerana mereka masih tidak dikira dosa pahala oleh malaikat. ada doa lain di link bawa (al azkar)

4. Angkat Takbir Ke Empat "Allahuakbar"

  • "Assalamualaikum warahmatullah " Beri Salam kanan dan kiri
  •  Selesai

Jika jadi makmum, ikutlah di belakang imam, berdiri rapat rapat. dan ikutlah jugalah rukun di atas. Cukup rukun makalah sah lah solat tersebut. Semoga ia jadi penghormatan terbaik buat jenazah..

kredit : 1001 Sirah Nabi Muhammad


Selasa, 29 Julai 2014

7 Langkah Berkesan Menuju Khusyuk Di Dalam Solat

khusyuk
Khusyuk dalam solat??
Tanyakan pada diri kita, bagaimana fikiran, perasaan dan rasa hati semasa mengerjakan solat?

Adakah fokus kita tertumpu sepenuhnya kepada Allah? Atau hati masih liar, fikiran masih merawang dan perasaan masih kacau semasa mendirikan solat?
Bagaimana pula soal penghayatannya?
Adakah kita dapat merasai apa yang telah kita fahami itu? Semasa mengucapkan bacaan-bacaan dalam solat itu adakah kita lakukan dengan sedar?
Atau hanya sekadar ucapan biasa yang tidak membawa apa-apa makna dan rasa?
“Dan berjayalah orang yang beriman, yakni orang yang khusyuk dalam solatnya.” [Surah al-Mu’minun 23: 1-2]
.Apakah itu khusyuk?
khusyukSolat yang khusyuk tercapai apabila hati, fikiran, perasaan dan seluruh pancaindera tunduk patuh kepada Allah sepanjang waktu mengerjakan solat.

Semasa solat, seseorang itu berhubung secara langsung dengan Allah. Sepanjang mendirikan solat, seseorang hamba berdoa terus dihadapan-Nya.
Hubungan dengan Allah ini akan menimbulkan rasa-rasa tertentu di dalam hati yang kemudian membentuk hati itu akur, taat dan patuh kepada Allah.
Diriwayatkan apabila para sahabat Rasulullah SAW solat ditengah padang pasir, burung-burung akan hinggap dibahu, malah ada diatas kepala dan badan mereka, kerana menyangka mereka ialah pohon kayu. Begitulah, diam dan pegunnya jasad mereka ketika solat.
Bagaimana pula dengan kita insan biasa untuk khusyuk di dalam solat?
Saya pasti ramai diantara kita sangat teringin dan tercari-cari formula untuk menjadi salah seorang hamba Allah yang khusyuk di dalam solat.
InsyaaAllah, dalam artikel ini akan berkongsi formula yang dengan izinNya, akan membantu kita untuk khusyuk di dalam solat.
.Tujuh Langkah Menuju Khusyuk Dalam Solat
1. Mencari Pengertian (Faham)
Perkara ini perlu dimulakan dengan memahami makna bacaan (rukun qauli) dan erti setiap perbuatan dalam solat.

Apabila mengucapkan takbiratulihram dan membaca surah al-Fatihah misalnya, makna setiap kalimahnya perlu diketahui satu per satu.

Jadi, belajarlah bahasa Arab sekurang-kurangnya untuk mengetahui makna bacaan-bacaan yang wajib dan sunat dalam solat.
“Jangan jadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai menuturkan kata-kata tetapi tidak tahu apa makna dan maksudnya.”
Namun memahami makna sahaja tidak memadai, kita perlu melangkah ke tahap seterusnya.
.2. Memusatkan Fikiran (Fokus)
Tahap kedua ialah pemusatan fikiran. Menghindarkan gangguan hal-hal lain, sehingga fikiran, perbuatan dan ucapannya seiring – yakni terfokus sepenuhnya kepada makna bacaan dan perbuatan dalam solat.

Mungkin kita telah memahami makna bacaan, tetapi oleh sebab tidak fokus, seseorang yang membacanya hanya umpama “orang mengigau” dalam tidur.

Sekiranya seketika kita terfikir juga hal-hal lain, tapi ingatan dan fikiran tetap terikat pada tujuan solat (mengingati Allah), keadaan ini samalah seperti orang yang sedang memandu kereta.

Fikirannya tetap fokus kepada destinasi yang hendak dituju walaupun sekali – sekala ternampak juga objek-objek dan pemandangan di tepi-tepi jalan.

Semua itu tidak menggangu fokusnya.

Lain pula halnya jika dia “terlalai” dengan pemandangan-pemandangan di tepi jalan sehingga dia tidak sedar bahawa sudah terlajak jauh daripada destinasinya.
.3. Membesarkan Allah (Rasa ‘Haibah’)
Perlu diingat, pemusatan fikiran bukan ditujukan kepada bacaan itu sahaja tetapi pada makna di sebalik bacaan itu.

Ertinya, tumpuan bukan hanya pada huruf dan ayat serta sebutan, tetapi pada
makna dan tafsirannya. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘pengertian’.
khusyuk 2Hanya orang yang kenal raja akan bercakap-cakap dengan penuh penghormatan, rasa takut, malu dan rendah diri.

Sebaliknya, orang yang tidak kenal raja, akan bercakap-cakap dengan baginda secara biasa-biasa sahaja.

Apabila orang yang kenal Allah mengucapkan kalimah “Allahuakbar” misalnya, dia bukan sahaja tahu maknanya (Allah Maha Besar) malah hatinya turut merasai betapa hebatnya kuasa Allah yang telah mencipta dirinya, alam semesta, akhirat dan segala makhluk.

Pada ketika itulah terpancarnya rasa-rasa yang seni dan indah dalam fikiran dan jiwa yang tidak mungkin terjadi diluar solat.

Oleh itu pada peringkat permulaan, cubalah untuk merasakan kita sedang berhadapan seorang raja yang sangat berkuasa dan kita perlu fokus dihadapanNya.
4. Kagum dan Takut akan Keagungan Allah (Rasa Khauf)
Hasil daripada merasai kebesaran Allah, maka timbul pula rasa takut dan kagum kepada-Nya. Rasa takut dan kagum kepada Allah ini tidak sama dengan rasa takut dan kagum kepada perkara-perkara lain.
Kita takut kepada harimau kerana keganasannya, tetapi kita takut kepada Allah kerana kehebatan-Nya. Takut akan harimau, kita lari menjauhinya, tetapi takut akan Allah kita datang menghampirinya.

Rasa takut akan timbul apabila seseorang gerun akan kemurkaan Allah dan Neraka-Nya.

Rasa takut ini diterjemahkan dalam solat dengan perbuatan berdiri betul, menundukkan kepala, mata melihat ke tempat sujud (tidak berani mendongak), rukuk serta sujud.
.5. Rasa Mengharap Kepada Allah (Rasa Raja’)
Apa yang dimaksudkan dengan rasa mengharap?
khusyukRasa mengharap ialah pengharapan seorang hamba untuk mendapat keampunan, kasih sayang dan syurga Allah.
Jika rasa takut sahaja dibiarkan mendominasi jiwa, dikhuatiri akan timbul sangka buruk dan jahat sangka terhadap Allah.
Padahal dalam reality, Allah lebih suka mengampunkan dosa berbanding menyeksa hamba-Nya yang berdosa.
Oleh sebab itu, ulama berpesan dalam keadaan biasa seseorang hendaklah menyeimbangkan rasa  takut dan harapnya umpama dua sayap pada burung yang membolehkannya terbang dengan stabil dan selamat.
Jangan terlalu takut, nanti timbul sangka buruk kepada Allah. Jangan terlalu harap, nanti terjadi sikap sambil lewa serta “berangan-angan” akan keampunan Allah.
Rasa harap dalam solat ini adalah menerusi penghayatan ketika bacaan al-Fatihah (mengharapkan jalan yang lurus), bacaan qunut (mengharapkan hidayah, kesihatan dan lain-lain) dan bacaan ketika duduk diantara dua sujud (mengharap keampunan, belas kasihan, ditinggikan darjat, dan lain-lain)
Manakala melalui perbuatan duduk dalam tahiyat awal dan akhir, sujud serta rukuk – semuanya melambangkan rasa pengharapan seorang hamba yang sedang meminta-minta dan merayu-rayu.
.6. Rasa Malu dan Hina Diri (Rasa Haya’) dalam solat
Rasa malu dan hina diri ialah kemuncak segala rasa yang timbul sebelumnya. Oleh itu PERLU ditimbulkan rasa berdosa kepada Allah.
Apabila ada rasa berdosa maka barulah timbul rasa malu.
Cara untuk menimbulkan rasa berdosa ialah dengan menimbulkan kesedaran (insaf) akan kelalaian diri, lemah melaksanakan tanggungjawab, kurang ikhlas, banyak prasangka buruk, tidak sabar dan reda dengan takdir dan banyak “berhutang” kepada Allah.
Sewaktu sujud, kita meletakkan kepala, dahi dan muka yang sentiasa berada “di atas” (sentiasa dihormati) ke tempat yang paling bawah (tempat sujud).
Manakala dubur yang sentiasa disorokkan dibawah, ketika sujud telah dijongketkan ke atas sebagai cara meleburkan kesombongan dan kebesaran diri!
 7. Memakai Pakaian Yang Paling Selesa Dan Paling Cantik Ketika Solat
khusyukUntuk kaedah yang terakhir ini, tidak berkaitan dengan enam kaedah diatas. Nampak seperti remeh, namun ia juga adalah salah satu langkah yang boleh dipraktikkan untuk mencapai khusyuk di dalam solat.
Sebolehnya pilihlah pakaian yang paling selesa, suci dan khas untuk solat.
Pilih pakaian  yang diperbuat daripada material yang paling baik, yang tidak membuatkan kita berpeluh apabila panas, tidak longgar atau ketat sehingga mengganggu pergerakan solat.
Dan juga pilihlah yang paling cantik, sempurna dan dikhaskan untuk solat. Kerana solat kita adalah untuk menghadap Allah, Raja yang paling Agung dan Allah sangat sukakan kecantikkan.
Innallah jamil, wa yuhibbu jamal: Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.
Buat para Muslimah, boleh mencuba koleksi telekung Siti Khadijah yang sangat selesa digunakan untuk mengerjakan solat.  Ianya berbaloi untuk dicuba
.

Penutup: Solat yang Khusyuk Akan Mendidik Hati Membina Rasa Bertuhan

Sebagai ingatan, ada bezanya antara solat yang khusyuk dan solat yang sah. Solat yang khusyuk sudah semestinya sah. Tetapi solat yang sah belum tentu khusyuk.
Solat yang khusyuk ialah solat yang berjaya menyentuh dan mendidik hati, akal dan nafsu manusia. Ia juga akan membina rasa bertuhan.
Rasa bertuhan akan mendatangkan rasa gagah, berani dan optimis dalam hidup.
bahagia
Walau sekuat mana pun ujian hidup melanda, segala-galanya dapat diatasi dengan baik kerana adanya “talian hayat” denga Yang Maha Berkuasa.
Diri yang lemah akan menjadi gagah apabila hati diserahkan sepenuhnya untuk ditadbir oleh Allah. Rasa bertuhan juga menimbulkan harapan dan impian yang sentiasa hidup dan menyala-nyala.
cc: http://akuislam.com/blog/renungan